Antara kelebihan-kelebihan wuduk
1 – Sebahagian Daripada Iman
Diriwayatkan daripada Abu Malik al-Ash’ari r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Bersuci itu adalah sebahagian daripada iman...” (H/R. Muslim, no. 223)
2 – Wuduk Yang Sempurna Menghapuskan Dosa
Pengambilan wuduk yang sempurna bukan sahaja menjamin diterimanya solat tetapi ianya juga dapat menghapuskan dosa-dosa selagi tidak melakukan kesyirikan. Rasulullah s.a.w bersabda: “Dari Abu Hurairah r.a berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w: Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwuduk maka setelah ia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya keluarlah dari kedua tangannya setiap dosa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Sewaktu ia membasuh kedua belah kakinya, keluarlah dari kedua kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah ia selesai berwuduk ia bersih dari dosa-dosanya”. (H/R. Muslim, 1/148) “Barang siapa yang berwuduk seperti ini (seperti wuduknya Rasulullah), diampunkan dosa-dosanya yang telah berlalu dan solat serta perjalanannya ke masjid adalah dipenuhi pahala”. (H/R. Muslim, 3/113) “Dari Abi Umamah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang muslim berwuduk maka akan keluar dosa-dosanya dari pendengarannya (telinganya), matanya, tangannya dan dari kedua kakinya. Apabila ia duduk menanti solat, ia duduk dalam keampunan (diampunkan) dosa-dosanya”. (H/R. Ahmad, 5/252. Hadis Hasan: Lihat Jami’ as-Saghir, No. 461)
3 – Wuduk Mengangkat Darjat Manusia
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sukakah kamu semua sekiranya aku tunjukkan kepada kalian akan amalan yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan dan mengangkat beberapa darjat kalian? Mereka menjawab: “Ya, wahai Rasulullah”. Maka Baginda s.a.w pun bersabda: “Iaitu (antaranya) menyempurnakan wuduk walaupun dalam keadaan yang tidak disenangi (seperti kesejukan dan sebagainya)…” (H/R. Muslim, no: 253)
4 – Wuduk Dapat Membuka Pintu Ke Syurga
Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada seorang pun dari kalian yang berwuduk, lalu ia menyampaikan atau meratakan wuduknya, kemudian dia mengucapkan: “Asyhadu alla ilaha illallah wa anna Muhammadan ‘Abduhu wa Rasuluh”, melainkan dibuka untuknya pintu syurga yang lapan, dia boleh memasuki dari pintu mana pun yang dia kehendaki.” (H/R. Muslim, no: 234),
5 – Wuduk Memberi Cahaya Di Akhirat
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Perhiasan-perhiasan di syurga itu sampai di tubuh seorang mukmin, bersesuaian dengan anggota yang dicapai oleh wuduk.” (H/R. Muslim, no: 250)
6 – Wuduk Dapat Membuka Ikatan Syaitan
Dari Abu Hurairah r.a, beliau meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w, bahawa syaitan mengikut manusia ketika tidur di malam hari, dengan tiga ikatan. Kemudian Rasulullah s.a.w memberitahu cara untuk merungkaikan ikatan tersebut, dalam sabda Baginda s.a.w: “…sekiranya dia (manusia) bangun (dari tidurnya), dan mengingati Allah, bebaslah satu ikatan. Sekiranya dia berwuduk pula, bebaslah satu ikatan lagi, dan sekiranya dia bersolat, bebaslah satu ikatan lagi. Maka dia akan menjadi segar dan baik dirinya. Sekiranya dia tidak melakukannya (berzikir, wuduk, dan bersolat), maka dia akan menjadi buruk dan pemalas”. (H/R. al-Bukhari, no: 1091)